• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Home
  • Corporate
  • Client Charter
  • MAIPK News

MAIPk DAN ZAPAR SEMARAKKAN PERARAKAN HARI KEBANGSAAN NEGERI PERAK 2026

IPOH, 31 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) turut menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan menerusi penyertaan dalam perarakan yang penuh meriah di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh.

Penyertaan MAIPk dan ZAPAR dalam perarakan tersebut mencerminkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara, di samping menjadi simbol kebersamaan warga kerja dalam meraikan detik bersejarah kemerdekaan negara.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 ini turut menjadi kesempatan untuk menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan yang terus dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Semoga semangat kemerdekaan yang dizahirkan diharap terus menyuburkan rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan iltizam seluruh warga MAIPk dan ZAPAR untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam agenda kebajikan dan pembangunan sosioekonomi umat Islam di Negeri Perak.





MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN TAHUN 2026 DAN PERASMIAN MASJID IMAM AS SYAFIE,MERU

IPOH, 30 Ogos 2026 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 dan Perasmian Masjid Imam As Syafie, Meru.

Turut berkenan berangkat YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin diiringi YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Pengerusi Masjid Imam As Syafie, YBhg. Dato’ Mohd Gazali bin Jalal.

Hadir sama, SS Dato’ Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak; YBhg. SS Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak serta YBrs. Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menarik tirai plak sebagai tanda perasmian Masjid Imam As-Syafie dan disusuli dengan bacaan doa. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil serta doa selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak sebelum keberangkatan pulang baginda selepas menunaikan solat Isyak berjemaah.

Majlis sambutan ini melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi atas nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara kita. Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat-Nya serta memelihara nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan buat negara yang kita cintai ini.



Merdeka Ke-69

Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga perjuangan membebaskan insan daripada belenggu kemiskinan, kejahilan dan keputusasaan.

Setiap zakat yang ditunaikan bukan sekadar sebuah pemberian, tetapi harapan yang dinyalakan kembali, membuka pintu pendidikan, mengangkat maruah sebuah keluarga dan memberi kekuatan kepada asnaf untuk bangkit membina masa hadapan.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69🇲🇾

APABILA KASIH SAYANG MENJADI KERJAYA, 15 PESERTA TVET MAIPk MELANGKAH KE BIDANG ELDERLY CARE

IPOH, 28 Ogos 2026 – Seramai 15 peserta asnaf kini melangkah ke satu bidang kerjaya yang bukan sekadar menawarkan peluang pekerjaan, malah menuntut jiwa, kesabaran, empati dan kasih sayang yang tulus dalam memberikan penjagaan terbaik kepada warga emas.

Bidang Elderly Care bukanlah tugas yang hanya bergantung pada kemahiran semata-mata. Ia memerlukan minat yang mendalam, kesabaran, kelembutan dan rasa kasih terhadap insan yang memerlukan perhatian serta penjagaan. Setiap warga emas mempunyai cerita, pengalaman dan perjalanan hidup yang perlu dihargai. Justeru, mereka yang memilih bidang ini perlu hadir dengan hati yang ikhlas kerana menjaga warga emas merupakan satu amanah dan pekerjaan yang mulia.

Menerusi Program TVET MAIPk, kesemua 15 peserta akan mengikuti latihan selama tiga bulan di UOA Academy dengan pensijilan SKM Modular sebelum meneruskan penempatan pekerjaan di Komune Care, sebuah pusat penjagaan warga emas premium di Kuala Lumpur.

Sebelum peserta menjalani latihan dan seterusnya ditempatkan untuk bekerja, pihak MAIPk terlebih dahulu mengadakan kunjungan ke Komune Care bagi meninjau dan mengenal pasti kesesuaian tempat kerja, kemudahan yang disediakan serta melihat sendiri situasi dan suasana sebenar pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha MAIPk untuk memastikan peserta asnaf bukan sahaja memperoleh peluang pekerjaan, malah ditempatkan dalam persekitaran kerja yang selesa, sesuai dan kondusif serta mampu memberikan ruang kepada mereka untuk membina pengalaman, mengembangkan potensi dan melakar kerjaya yang lebih baik.

Majlis pelepasan peserta telah berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh dan disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Encik Amirudin bin Osman.

Semoga 15 peserta ini bukan sahaja menjadi tenaga kerja yang berkemahiran dan kompeten, malah mampu menghadirkan senyuman, ketenangan dan sentuhan kasih sayang kepada setiap warga emas yang berada di bawah jagaan mereka.

TVET MAIPk

Mencipta Peluang, Membina Kehidupan


MAIPk PERKASA KECEMERLANGAN PELAJAR MELALUI SKIM BIASISWA PELAJARAN BAITULMAL, SAMPAIKAN SUMBANGAN 30 KOMPUTER RIBA

MANJUNG, 26 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) memperkukuh usaha memperkasa pendidikan anak-anak asnaf menerusi penganjuran Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 di bawah Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP), yang berlangsung di Ritz Garden Hotel, Manjung.

Program yang diadakan ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan kecemerlangan dalam peperiksaan, selain memberi pendedahan berkaitan kaedah menjawab SPM, membentuk sikap positif serta meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan dalam menghadapi peperiksaan. SBBP MAIPk merupakan tajaan pendidikan peringkat sekolah menengah kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada keluarga fakir dan miskin yang cemerlang dalam pelajaran. Pada tahun ini, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM421,000 untuk membiayai 183 orang pelajar Tingkatan 5 dan 31 orang pelajar Tingkatan 4. Selain bantuan kewangan sebanyak RM1,500 setahun, pelajar turut menerima sokongan melalui program tuisyen secara dalam talian, program motivasi, Seminar

Kecemerlangan SPM serta insentif kecemerlangan peperiksaan SPM. Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 dilaksanakan di 5 zon di seluruh negeri Perak melibatkan 183 orang pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Selain pengisian akademik, program kali ini turut menyaksikan penyerahan 30 unit komputer riba bernilai RM60,000 kepada 30 orang pelajar SBBP hasil sumbangan Pintas Utama Sdn. Bhd. menerusi

Program Kerjasama Wakalah MAIPk. Sumbangan komputer riba ini membantu menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik serta meningkatkan akses pelajar kepada teknologi digital. Inisiatif tersebut turut mencerminkan kepentingan kerjasama antara MAIPk dengan pihak korporat dalam memperluaskan penyampaian manfaat zakat secara bersasar, sekali gus menyokong keperluan pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak asnaf.

Hadir merasmikan majlis dan sesi penyerahan komputer riba ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Puan Wan Maizura binti Wan Zahari serta Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat, Encik Wan Abdul Halim Hafiidz bin Mohd Amin. Turut hadir mewakili Pintas Utama Sdn. Bhd. ialah Head of Operation (Slope), Br. Hazman bin Ahmad; Regional Manager (Central), Encik Mohd Farhan bin Mohamad serta Project Engineer, Ts. Mohd Aswan bin Kasman.


.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.