SEHARUM KASTURI ANGKAT WARISAN BUDAYA & EKONOMI TEMPATAN KUALA KURAU
KUALA KURAU, 26 Julai 2025 – Program Seharum Kasturi: Singgahsana Budaya Kuala Kurau 1827 yang berlangsung hari ini telah menghimpunkan pelbagai elemen sejarah, budaya dan pembangunan ekonomi dalam satu acara yang penuh bererti di Kuala Kurau, Perak.
Mengangkat nilai warisan seperti yang digariskan dalam Akta Benda Purba 1976, program ini dimulakan dengan lawatan bersejarah ke Masjid Batu Kuala Kurau 1884 oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini. Lawatan ini mengangkat sejarah pembinaan Masjid Batu berkonsepkan Ibrahim Saab hasil arahan Maharaj Kadhi pada era silam, sekaligus memperkukuh nilai warisan Islam di negeri Perak.
Majlis diteruskan dengan perasmian Kilang Beras Yop Zainan Sdn. Bhd. oleh Yang Dipertua MAIPk. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha menyokong pertumbuhan ekonomi setempat melalui pengukuhan sektor pertanian.
Antara pengisian menarik program termasuk taklimat sejarah Kuala Kurau dan Perak 1528, pameran Motorhome RV untuk Kerajaan Malaysia, serta pameran berkaitan asas kemerdekaan 1957 oleh Tan Sri Mubin Shepard dari Kuala Kurau (Persatuan Sejarah Malaysia).
Penganjuran program ini memperkukuh usaha memartabatkan warisan budaya setempat, selain menjadi platform sinergi antara sejarah, komuniti dan pembangunan ekonomi. Ia sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyemarakkan nilai sejarah dan jati diri bangsa.







